Monday, 15 April 2013

Masalah dalam Membaca

Proses membaca dikatakan satu perkara yang mudah tetapi sebenarnya ada sesetengah golongan yang mengalami masalah membaca ini. Masalah membaca boleh timbul disebabkan beberapa faktor dalaman dan luaran. Kebiasaanya faktor dalaman individu itu sendiri yang menjadi punca utama kepada masalah dalam membaca sesuatu bahan.

            Masalah membaca dari sudut dalaman ialah masalah yang timbul pada seseorang individu itu sendiri dari aspek kecerdasan dan perkembangan kognitif. Menurut seorang tokoh membaca Marohaini Yusoff ( 1999 ), masalah intelek meliputi kecerdasan, keboleh bahasaan dan pengalaman yang sudah sedia ada. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah mental seperti terencat akal atau sindrom down pastinya tahap keboleh bacaan dalam kalangan mereka sangat rendah. Selain itu, masalah ini juga bukan sahaja dialami oleh kanak-kanak istimewa tetapi ada sebahagian kanak-kanak yang lain mempunyai masalah kelemahan daya ingatan ini. Mereka sering kali mengalami masalah kekeliruan dengan huruf, kesukaran dalam pengamatan sesuatu perkataan, kesukaran untuk membatang suku kata perkataan dan mengalami kesukaran untuk membaca ayat. (Khairuddin Mohamad, 2011)


             Proses perkembangan kognitif yang tidak normal menyebabkan berlakunya masalah-masalah dalam membaca seperti kekeliruan dalam mengenal bentuk huruf, huruf yang terbalik, keliru untuk menamakan huruf besar dan kecil kerana bentuknya telah berubah, bunyi huruf yang seakan-akan sama dan ada juga pelajar yang menyebut huruf mengikut loghat bahasa ibunda. Di samping itu, mereka juga mengalami masalah kesukaran dalam pengamatan sesuatu perkataan iaitu mereka boleh mengeja sesuatu perkataan tetapi tidak boleh membunyikannya, keliru dengan ejaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, salah menyebut dan membunyikan perkataan yang seakan-akan sama dan menyebut perkataan dengan menggunakan loghat.

          Masalah yang timbul juga ialah pelajar-pelajar mengalami masalah untuk membatang suku kata perkataan. Mereka tidak boleh membatang suku kata terbuka dan tertutup, keliru dengan suku kata e taling dan e pepet, salah memecah dan membatang suku kata, tidak boleh membatang perkataan yang banyak suku kata dan keliru untuk membatang perkataan yang berdiftong dan vokal berganding. Masalah-masalah yang timbul ini telah membawa kepada masalah yang lebih besar lagi iaitu berlakulah kesukaran untuk membaca ayat. Mereka terpaksa membaca secara berulang-ulang dan merangkak-rangkak serta kerap tertinggal semasa aktiviti membaca secara ramai-ramai. (Khairuddin Mohamad, 2011) 


            Selain masalah dalaman, masalah luaran turut menjadi faktor dalam proses membaca iaitu melibatkan bahan bacaan tersebut. Menurut Carell (1992), keupayaan untuk memahami sesuatu teks bacaan, banyak dipengaruhi oleh latar belakang bahan yang dibaca, bahasa yang sukar difahami, jenis dan panjang sesuatu petikan. Masalah ini bukan sahaja menyukarkan pembaca dalam kalangan kanak-kanak sahaja tetapi turut menjadi masalah kepada pembaca dewasa. Masalah dalam penulisan teks ini wujud apabila penulis tidak menyesuaikan kandungan teks dengan keperluan pengajian pembaca. Hal ini demikian kerana teks tersebut ditulis oleh penulis di luar bidang pengajian mereka yang menyebabkan pembaca sukar untuk memahami dengan mudah bahan bacaan tersebut dan  kebiasaanya masalah ini dialami oleh pelajar-pelajar universiti. Tambahan pula, isi kandungan teks bacaan tersebut juga tidak diolah dengan sebaiknya dan penggunaan bahasa serta organisasi teks tidak diambil perhatian yang menyukarkan pembaca untuk memahami bacaan tersebut. (Yahya Othman, 2008)

            Masalah yang timbul dalam proses membaca ini haruslah diatasi sebaiknya kerana dalam dunia yang mementingkan penguasaan ilmu yang luas dan mendalam dalam pelbagai bidang, keupayaan untuk membaca dan memahai teks bacaan perlu diberi perhatian penting pada masa kini untuk memastikan penguasaan ilmu dalam masyarakat kita terus berkembang seiring dengan kemajuan negara pada hari ini.



---------------------


Bibliografi

Khairuddin Mohamad (2011). Literasi bahasa Melayu. Selangor: Oxford Fajar Sdn. 
           Bhd.

Yahya Othman (2008). Proses & strategi membaca berkesan. Selangor: Penerbit 
           Universiti Putra Malaysia 

Sunday, 14 April 2013

Pemilihan Bahan Bacaan



Tujuan pembaca membaca teks adalah untuk memahami teks yang dibaca. Bagi menimbulkan minat pembaca membaca sebagai alat hiburan atau alat pengisi masa lapang, bahan bacaan tersebut perlu dipilih berdasarkan kriteria yang betul. Hal ini untuk mengelakkan pembaca bosan dengan bahan bacaan tersebut dan menjadikan pembaca mendapat manfaat daripada kandungan teks yang dibaca. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek bacaan dan pemahaman amat penting dan perlu diberi perhatian kerana kemahiran itu menentukan kejayaan penguasaan pelajar dalam bacaan. Kejayaan ini dapat dicapai jika pelajar mahir dalam pemilihan bahan bacaan untuk menjadi pengguna bahasa yang baik.


            Aktiviti membaca merupakan sesuatu yang amat penting kepada setiap individu termasuklah pelajar. Proses bacaan secara teratur dapat menyerap konsep, teori, analisis, cerita, dan sebagainya dengan baik. Pembacaan yang berterusan dapat mengembangkan diri dalam bidang tertentu malah dapat mengikuti setiap perkembangan baru yang terjadi. Bagi mendapat keyakinan, kesempurnaan dan keselesaan ketika proses membaca berlaku, pelajar perlu memilih bahan bacaan yang sesuai dan bermutu. Pembaca tidak boleh berdalih daripada masalah ini kerana kegiatan membaca boleh dianggap sama penting dengan kegiatan makan dan minum. Tanpa membaca maka pengetahuan akan menjadi layu (Rooijakers, 1981).
            Dalam Al-Quran sendiri ada menyebut mengenai seseorang itu perlu membuat pilihan dalam setiap perkara dari yang baik. Surah Al-Zumar ayat 17-18 yang bermaksud: “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab”.
            Menurut Yahya Othman (2005), Ada beberapa tiga cara yang disyorkan dalam membuat pilihan bahan bacaan.

1.      Menentukan Tahap Kesukaran
Pembaca perlu menentukan tahap kesukaran bahan yang hendak dibaca. Jika pembaca memilih bahan bacaan yang mempunyai tahap kesukaran yang tinggi akan menyebabkan pembaca kurang mendapat pemahaman dari bahan bacaan tersebut. Pembaca juga perlu pastikan bahan bacaan itu hanya mempunyai sedikit kesukaran. Jika terlalu banyak pembaca tidak faham terhadap sesuatu terutamanya istilah dan perlu merujuk kamus akan menyebabkan pembaca letih, keliru dan putus asa untuk meneruskan proses membaca. Hal ini kerana pembaca perlu mengumpulkan semua makna istilah atau kata-kata yang baru diterima untuk difahami dan ia memerlukan masa yang panjang bagi sesetengah pembaca.
            Oleh itu, pembaca perlu memulai proses membaca dengan memilih bahan bacaan yang mudah difahami. Apabila sudah berasa selesa barulah beralih kepada tahap kesukaran yang sedikit tinggi. Semua bidang memang disediakan bahan bacaan untuk semua peringkat, dari yang tidak tahu langsung sehinggalah ke peringkat yang memboleh pembaca mengkritik bahan bacaan tersebut. Jadi, pembaca hanya perlu mencari bahan bacaan yang mudah. Bagi sesetengah pembaca, mereka lebih tertarik dan menyukai jika bahan bacaan tersebut turut disertakan dengan gambar, jadual, pelan dan sebagainya. Tiada alas an bagi pembaca untuk mengelakkan diri dari membaca kerana sekarang ini teknologi teknologi semakin canggih dan kemudahan untuk membaca senang diperoleh.

2.      Memilih Tajuk Bacaan
Cara seterusnya adalah dengan memilih tajuk bahan bacaan. Pembaca yang bijak akan memilih tajuk bahan bacaan yang biasa dan selesa dengan dirinya. Kebiasaaan pemabca dengan sesuatu tajuk membantu pembaca untuk lebih mudah meneka makna perkataan yang jarang ditemui. Keadaan ini dapat mengurangkan jurang pengetahuan bahasa pembaca. Sebagai contoh, seseorang yang baru hendak berjinak dengan akhbar perlu membaca teks akhbar yang tajuk menarik dan sesuai dengannya. Apabila sudah mempunyai sedikit pengetahuan, barulah beralih kepada tajuk yang lain.




3.      Bahan Bacaan yang Menarik
Buku yang baik mampu menarik perhatian calon pembaca. Pelajar atau pembaca perlu memilih bahan bacaan yang difikirkan dapat mendatangkan minat untuk terus membaca. Sekiranya didapati bahan yang dibaca itu menarik, pelajar mungkin meneruskan bacaannya dan situasi ini menunujukkan sebahagian daripada kejayaan pelajar.
            Sebagainya contoh, sekiranya pelajar merancang hendak menjadi pengarang buku, pelajar akan mencari bahan bacaan yang berkaitan dengannya seperti panduan dan tips-tips untuk dijadikan contoh dan rujukan. Pelajar akan melanggan buku-buku yang datang daripada pengarang yang dicontohinya dari pelbagai negara. Akhbar dan majalah begitu sesuai untuk pelajar yang belajar membaca kerana bahan bacaan yang terkandung di dalamnya menawarkan sesuatu untuk semua golongan. Ia mengandungi petikan daripada pelbagai tahap kesukaran dan selalunya mempunyai gambar dan ilustrasi dan boleh menimbulkan minat membaca.



-----------------------------------------------------------------------------------



Strategi Membina Kemahiran

Ø  Pilih petikan yang mudah
Ø  Membuat andaian




----------------------------------------- 


Bibliografi
Rooijakers (1981). Mengajar dengan sukses. Indonesia : Grasindo.

Yahya Othman (2005). Trend dalam pengajaran bahasa Melayu. Pahang : 
            PTS Professional Publishing Sdn Bhd.

Shaharom TM Sulaiman & Suriati Shamsuddin (2004). Ada apa dengan buku
            Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.