Kemahiran membaca merupakan komponen penting dan menjadi kunci atau perkara asas kepada ilmu pengetahuan. Oleh hal yang demikian, kemahiran membaca perlu dipelajari oleh setiap individu seawal yang mungkin. Sehubungan dengan itu, guru digalakkan untuk memvariasikan teknik dan kaedah pengajaran yang menarik agar dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Maka, terdapat pelbagai teknik dan pendekatan yang boleh diaplikasikan untuk mengajar kemahiran membaca ini.
Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah permainan bahasa. Pendekatan belajar melalui aktiviti permainan yang disarankan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) dalam Husin Fateh Din et. al (2011) ini ialah satu pendekatan terancang dan berstruktur yang memberi peluang kepada murid-murid untuk belajar dalam suasana yang menggembirakan dan bermakna. Hal ini disokong oleh Siti Hajar (1996) dalam Husin Fateh Din et. al (2011) dengan menyatakan bahawa permainan bahasa ini merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Melalui aktiviti permainan bahasa ini, murid-murid bukan sahaja boleh menguasai kemahiran membaca, malah kemahiran mendengar, lisan dan menulis turut dapat dikuasai secara serentak. Hal ini menjadikan pembelajaran berpusatkan murid-murid dapat dilakukan, manakala guru dapat bertindak sebagai fasilitator (Husin Fateh Din et. al, 2011).
Walau bagaimanapun, permainan bahasa ini perlulah mempunyai pengisian yang selayaknya di samping sesuai dengan kemahiran yang mahu diajar pada minggu atau hari itu. Pendek kata, perkara utama yang perlu ditekankan dalam permainan bahasa ini ialah pengisian aktivitinya (Husin Fateh Din et. al, 2011). Hal ini bermakna, setiap guru mestilah memastikan setiap permainan bahasa ini perlu memenuhi objektif silibus pelajaran yang telah ditetapkan supaya keupayaan kognitif murid-murid dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Seterusnya, pendekatan secara pemintal lidah, iaitu guru melatih murid menyebut perkataan yang hampir sama bunyinya. Perkataan ini sama dari segi bunyi tetapi terdapat beberapa perkataan konsonan dan vokal yang menjadikan perbezaan maksud bagi perkataan tersebut (Husin Fateh Din et. al, 2011). Hal ni bermaksud, aktiviti ini merupakan latih tubi perkataan dengan cara mengulang-ulangnya. Menurut beliau lagi, aktiviti ini dapat membantu murid menghafal, menyebut dengan betul dan tepat serta perkara yang disebut itu akan kekal dalam ingatan. Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat menjadi latihan membaca yang berkesan kepada murid.
Di samping itu, pendekatan yang lebih kurang sama dengan pendekatan pemintal lidah, iaitu latih tubi pasangan minimal juga boleh diterapkan bagi mengajar kemahiran membaca ini. Pendekatan ini berbeza dengan pendekatan pemintal lidah dari aspek bilangan suku katanya. Pendekatan pasangan minimal ini biasanya mempunyai bilangan suku kata yang sama namun berbeza dari sudut fonemnya. Secara tidak langsung, perbezaan tersebut telah menyebabkan maksudnya berubah.
Selanjutnya, menurut Dolores Durkin (1993), pendekatan yang berikutnya adalah dengan menyediakan persekitaran membaca di sekitar keberadaan murid. Hal ini bermaksud, guru perlu mewujudkan satu persekitaran atau suasana yang boleh membangkitkan semangat para pelajar untuk membaca. Beliau juga menambah bahawa bagi lebih menarik minat pelajar untuk membaca, bahan bacaan yang diberikan juga haruslah berkaitan ataupun ada hubungannya dengan pengalaman sedia ada pelajar serta berkait rapat dengan apa-apa perkara yang berlaku di sekitar kehidupan hariannya. Hal ini amat penting bagi mencari dan menarik fokus para pelajar dalam aktiviti membaca ini.
Antara pendekatan yang boleh diadakan lagi adalah dengan membacakan kepada mereka apa-apa bahan bacaan kepada mereka setiap hari. Pendekatan ini mungkin lebih merujuk kepada para ibu bapa kerana kebanyakan masa para pelajar adalah bersama-sama dengan ibu bapa mereka. Tambahan pula, menurut Dolores Durkin (1993), pendekatan ini dilihat atau diibaratkan sebagai satu kenderaan yang boleh membantu kanak-kanak untuk memahami dan menambah pengetahuan mereka mengenai dunia di sekitar mereka. Di samping itu, pembaca seharusnya tidak melupai bahawa pendekatan tersebut mampu untuk menggalakkan kanak-kanak untuk turut sama membaca. Hal ini demikian kerana, bagi kanak-kanak, kebolehan untuk membaca ini merupakan suatu perkara yang menyeronokkan bagi mereka (Dolores Durkin, 1993) dan inilah objektif sebenar pendekatan ini!
Kesimpulannya, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan bagi mengajar kemahiran membaca ini kepada murid-murid. Sehubungan dengan itu, haruslah diingati bahawa pendekatan tersebut mestilah sesuai dengan tahap penerimaan individu terbabit. Hal ini sangat penting bagi memastikan penerimanya dapat menerima dan mempraktikkannya dengan baik dan betul.
Selamat Membaca! ^_^
-----------------------
Bibliografi:
Husin Fateh Din, Nazariyah Sani, Mastura Mohamed Berawi dan Siti Hajar
Idrus (2011). Literasi bahasa Melayu. Puchong: Penerbitan Multimedia
Sdn. Bhd.
Idrus (2011). Literasi bahasa Melayu. Puchong: Penerbitan Multimedia
Sdn. Bhd.
Dolores Durkin (1993). Teaching them to read sixth edition. United States of
America: Allyn and Bacon
America: Allyn and Bacon
No comments:
Post a Comment