Masalah membaca dari sudut dalaman ialah masalah yang
timbul pada seseorang individu itu sendiri dari aspek kecerdasan dan
perkembangan kognitif. Menurut seorang tokoh membaca Marohaini Yusoff ( 1999 ), masalah intelek meliputi kecerdasan,
keboleh bahasaan dan pengalaman yang sudah sedia ada. Bagi kanak-kanak yang mengalami
masalah mental seperti terencat akal atau sindrom
down pastinya tahap keboleh bacaan dalam kalangan mereka sangat rendah. Selain
itu, masalah ini juga bukan sahaja dialami oleh kanak-kanak istimewa tetapi ada
sebahagian kanak-kanak yang lain mempunyai masalah kelemahan daya ingatan ini. Mereka
sering kali mengalami masalah kekeliruan dengan huruf, kesukaran dalam
pengamatan sesuatu perkataan, kesukaran untuk membatang suku kata perkataan dan
mengalami kesukaran untuk membaca ayat. (Khairuddin Mohamad, 2011)
Proses perkembangan
kognitif yang tidak normal menyebabkan berlakunya masalah-masalah dalam membaca
seperti kekeliruan dalam mengenal bentuk huruf, huruf yang terbalik, keliru
untuk menamakan huruf besar dan kecil kerana bentuknya telah berubah, bunyi
huruf yang seakan-akan sama dan ada juga pelajar yang menyebut huruf mengikut
loghat bahasa ibunda. Di samping itu, mereka juga mengalami masalah kesukaran
dalam pengamatan sesuatu perkataan iaitu mereka boleh mengeja sesuatu perkataan
tetapi tidak boleh membunyikannya, keliru dengan ejaan bahasa Melayu dengan
bahasa Inggeris, salah menyebut dan membunyikan perkataan yang seakan-akan sama
dan menyebut perkataan dengan menggunakan loghat.
Masalah yang timbul juga ialah pelajar-pelajar mengalami
masalah untuk membatang suku kata perkataan. Mereka tidak boleh membatang suku
kata terbuka dan tertutup, keliru dengan suku kata e taling dan e pepet, salah
memecah dan membatang suku kata, tidak boleh membatang perkataan yang banyak
suku kata dan keliru untuk membatang perkataan yang berdiftong dan vokal
berganding. Masalah-masalah yang timbul ini telah membawa kepada masalah yang
lebih besar lagi iaitu berlakulah kesukaran untuk membaca ayat. Mereka terpaksa
membaca secara berulang-ulang dan merangkak-rangkak serta kerap tertinggal
semasa aktiviti membaca secara ramai-ramai. (Khairuddin Mohamad, 2011)
Selain masalah dalaman, masalah luaran turut menjadi
faktor dalam proses membaca iaitu melibatkan bahan bacaan tersebut. Menurut Carell
(1992), keupayaan untuk memahami sesuatu teks bacaan, banyak dipengaruhi oleh latar belakang bahan
yang dibaca, bahasa yang sukar difahami, jenis dan panjang sesuatu petikan. Masalah
ini bukan sahaja menyukarkan pembaca dalam kalangan kanak-kanak sahaja tetapi
turut menjadi masalah kepada pembaca dewasa. Masalah dalam penulisan teks ini wujud
apabila penulis tidak menyesuaikan kandungan teks dengan keperluan pengajian
pembaca. Hal ini demikian kerana teks tersebut ditulis oleh penulis di luar
bidang pengajian mereka yang menyebabkan pembaca sukar untuk memahami dengan
mudah bahan bacaan tersebut dan kebiasaanya masalah ini dialami oleh
pelajar-pelajar universiti. Tambahan pula, isi kandungan teks bacaan tersebut
juga tidak diolah dengan sebaiknya dan penggunaan bahasa serta organisasi teks
tidak diambil perhatian yang menyukarkan pembaca untuk memahami bacaan tersebut. (Yahya Othman, 2008)
Masalah yang timbul dalam proses membaca ini haruslah
diatasi sebaiknya kerana dalam dunia yang mementingkan penguasaan ilmu yang
luas dan mendalam dalam pelbagai bidang, keupayaan untuk membaca dan memahai
teks bacaan perlu diberi perhatian penting pada masa kini untuk memastikan penguasaan ilmu dalam
masyarakat kita terus berkembang seiring dengan kemajuan negara pada hari ini.
---------------------
Bibliografi
Khairuddin Mohamad (2011). Literasi bahasa Melayu. Selangor: Oxford Fajar Sdn.
Bhd.
Bhd.
Yahya Othman (2008). Proses & strategi membaca berkesan. Selangor: Penerbit
Universiti Putra Malaysia
Universiti Putra Malaysia